Thursday 28 April 2011

inGatLah maTi-.....seMpurnaKan bekaLan

Puteri-puteri srikandi iman!

Salam sejahtera, rahmat dan barakah Ilahi mengiringi jiwa yang telah diikhlaskan untuk jual-beli taqwa. Dengan ikat-janji setia bakal diganjari syurga dengan nikmat tidak bertepi… Yakinlah janji Allah, benar dan pasti!
Akhirat itu benar…, Syurga itu benar… dan Neraka itu benar!
Mati itu pasti akan datang menjemput kita mengadap Yang Maha Adil lagi Maha Perkasa.
Dari itu, marilah kita renungi dengan teliti persiapan menghadapi mati. Agar sempurna bekalan menuju redha Ilahi.
Anak-anakku,
Ketahui, suatu perkara yang sering kita lupa untuk mengingatinya, mungkin juga cuba untuk tidak mengingatinya ialah kematian. Kita begitu gerun, khuatir malah berasa sedih untuk mengira-ngira anggaran berapa lama lagi kita akan mati…. Mengapa demikian? Adakah kita terlalu mencintai kehidupan dunia? Kita khuatir akan kehilangan segala kesenangan dunia?
Renungi firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185;
Tiap-tiap diri akan merasai mati.”
Ini bermakna, tiada seorang pun dapat melarikan diri dari kematian. Sering kita menerima perkhabaran tentang kematian seseorang…, kita menganggap seolah-olah kematian itu hanya untuk orang lain. Tidak ditujukan untuk kita?  Ini tidak lain kerana kita terleka dengan kesenangan dunia. Tapi bagaimanapun tanggapan kita…, mampukah kita mengelak dari kematian? Pada hakikatnya kita perlu sentiasa sedar, mati akan datang pada bila-bila masa, secara tiba-tiba. Dari itu marilah kita bersedia untuk menemui Allah dengan hati bersih dari sebarang dosa.
Mari sama-sama kita teliti keadaan ini;
1. Bayangkan tiba-tiba kita jatuh sakit yang kuat dan aneh. Kita tentu akan segera berjumpa doktor.
2. Melalui penelitian doktor, penyakit yang kita hidapi sudah tenat dan akan membawa maut. Bagaimana perasaan kita? Masa hayat yang tinggal hanya sedikit.
3. Sudah tentu setiap detik yang kita lalui sangat berharga. Pasti kita akan bersegera membuat segala kebaikan dan taat mengerjakan perintah Allah dengan ikhlas.
4. Juga kita akan mengorbankan apa saja yang kita miliki, berupa harta benda, masa, tenaga dan jiwa raga di jalan Allah tanpa ragu-ragu.
5. Dalam keadaan sakit yang menanti ajal begitu, kita tidak akan terlintas untuk melakukan sebarang maksiat. Malah tidak terdorong langsung untuk melakukan sebarang dosa.

Layar Keinsafan




TANGGAL 12 Rabiulawal pada tahun Gajah, tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang disambut dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah s.w.t. oleh seisi alam semesta sebagai tanda gembira.

Dalam memperingati hari kelahiran Baginda s.a.w, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit dan bangsa turut menyatakan kesyukuran dengan melahirkan kegembiraan tatkala meraikan bulan kelahiran Rasulullah ini.

Di samping meraikan Rabiulawal sebagai bulan kelahiran Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku di sepanjang bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. Peristiwa-peristiwa ini mempunyai nilai lahir kepada umat Islam dalam mengenang sirah perjuangan Nabi Muhammad memancarkan sinar Islam kepada umat manusia. Umat Islam juga dianjurkan melakukan amalan-amalan sunat pada bulan ini.

Terdapat dua pendapat tentang kelahiran Nabi Muhammad. Ulama-ulama Syiah berpandangan bahawa tarikh kelahiran Rasulullah ialah pada 17 Rabiulawal dan sebahagian ulama (Sunnah) menyatakan pada hari Isnin 12 Rabiulawal.

Hari kelahiran Nabi Muhammad adalah hari paling agung kepada umat Islam. Perbezaan pendapat ini bagaimanapun tidak wajar dijadikan pertikaian kerana apa yang lebih penting ialah kelahiran Nabi s.a.w adalah dalam bulan Rabiulawal. Al-Syaikh dalam kitab al-Misbah berpendapat, Rasulullah lahir ketika terbit fajar pada hari Jumaat bulan Rabiulawal dalam tahun Gajah.

Dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai ‘Maulid Nabi' ini, umat Islam digalakkan berpuasa sunat, mandi sunat, berziarah ke makam Baginda dan mengerjakan amalan-amalan mulia serta memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.

Peristiwa Rasulullah s.a.w dikepung oleh para pengikut Abu Jahal yang merancang untuk membunuh Baginda berlaku pada hari pertama Rabiulawal. Abu Jahal merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w ekoran tidak bersetuju dengan amalan Islam yang menghalang penyembahan berhala, sebaliknya hanya kepada Allah s.w.t.

Ketika itu, Saidina Ali bin Abi Talib rela berkorban mempertahankan Rasulullah daripada rancangan jahat puak kafir tersebut dengan menawarkan dirinya untuk berada di tempat tidur Baginda demi keselamatannya.

Tindakan Saidina Ali itu menggambarkan betapa luhurnya rasa kecintaan seorang sahabat Rasulullah terhadap Baginda sehingga sanggup berkorban untuknya.

Justeru, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, Rasulullah dan Saidina Ali selamat daripada rancangan jahat puak musyrikin Quraisy.

Mengikut sesetengah pendapat, umat Islam digalakkan menziarahi makam Baginda s.a.w, memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah.

Amalan bersedekah pula merupakan amalan yang paling digalakkan di dalam Islam. Ia tidak ditetapkan waktu sebaliknya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Rasulullah s.a.w bernikah dengan Siti Khadijah binti Khuwailid pada hari ke sepuluh bulan ini. Dan pada bulan yang sama pada tahun Gajah, bapa saudara Rasulullah iaitu Abdul Mutalib meninggal dunia.

Setelah Rasulullah keluar daripada Jabal Thur, Baginda menuju Madinah setelah mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan hijrah yang pertama.

Ahli sejarah Islam berpendapat, Baginda tiba di Quba pada 12 Rabiulawal sebelum menetap di sana selama empat hari. Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah pada 16 Rabiulawal dan singgah di Wadi Ranuna' atau Wadi Slim.

Di sinilah Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat pertama di Madinah bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu. Oleh demikian, sebuah masjid bernama Masjid Al-Jumaah telah dibina bersempena dengan peristiwa tersebut.

Hasbi Ash Shiddiqi dalam pengantar Tafsir Al-Bayan menyatakan, ayat Nubuwwah yang menyatakan Nabi Muhammad di angkat sebagai Nabi turun pada bulan Rabiulawal. Di dalam kitab ini dinyatakan bahawa wahyu Allah yang pertama ialah surah Al-Alaq dan diikuti surah al-Mudattsir.

Sementara itu, Jabir dan Ibnu Abbas berpendapat, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w berlaku pada hari Isnin 12 Rabiulawal, tiga tahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Sesungguhnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal mengandungi nilai yang amat tinggi dalam perkembangan Islam. Perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok alam tidak berlaku dalam masa yang singkat.



iSu KerunTuhan akLak.....




Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya. Pada hari ini, kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat mencedera dan membunuh mereka. Berlakunya gejala pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga melahirkan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah, bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.

Di manakah silapnya apabila pemuda pemudi menjadi rosak akhlaknya? Banyak jawapan yang boleh diberikan. Semua jawapan tersebut berkaitan di antara satu sama lain dan bantu membantu ke arah kerosakan akhlak remaja hari ini. Asas pendidikan remaja adalah di rumah. Sekiranya di rumahnya sendiri mereka tidak mendapat asas pendidikan, maka apabila berada di luar rumah sudah tentu payah untuk membentuk peribadi Muslim yang sejati kerana godaan dan pancaroba di luar sana seperti pergaulan dengan rakan-rakan yang jahat, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan dan sebagainya adalah lebih hebat dan mencabar. Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni yang berpeluang untuk selamat, namun bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.

Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sejati, yang akan menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang mampu tumbuh menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak mampu dihalang dan dicantas oleh gejala maksiat yang bersimpang siur, kiri dan kanan, akan lahirlah pemuda-pemuda dan generasi sebagaimana firman Allah (maksudnya): Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, maka kami (Allah) menambahkan kepada mereka

KeinsaFan mNusia...




Banyak teladan yang dapat kita pelajari mengenai keanehan dan malapetaka yang berlaku sehingga akal dan kebijaksanaan manusia masih belum mampu mengatasi setiap persoalan yang menimpa bumi. Kita mungkin akan terus memberikan perhatian kepada insiden yang menimpa negara Jepun di mana gegaran berskala 9 Richter di susuli dengan ombak ganas setinggi 10 meter dan seterusnya menyebabkan kebocoran radiaktif loji nuklear Fukushima Daiichi yang masih gagal ditangani sepenuhnya.
Pengalaman kebocoran nuklear menyebabkan Jepun bukan sahaja terpaksa mencatu penggunaan kuasa elektrik malah bertungkus lumus untuk menyelamatkan penduduk sekitar dan masyarakat dunia dari terus dibebani dengan bahaya radioaktif. Kesan daripada ketidakupayaan manusia mengatasi kebocoran tersebut menjadikan ramai pejuang alam sekitar mula kembali menyamakan insiden tersebut dengan kebocoran loji nuklear di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1985.
Masyarakat Jepun yang masih trauma dengan kesedihan dibom oleh tentera bersekutu dalam Perang Dunia II, kini menjadi semakin takut dengan bahaya yang sedang menganggu kehidupan mereka. Ratusan ribu penduduk sekitar masih tertanya-tanya sampai bilakah mereka tidak dibenarkan kembali ke rumah sedangkan mansa tsunami yang masih selamat meratap hiba melihat sisa-sisa runtuhan rumah mereka. Sedih yang berganda, kehilangan sanak saudara –dikhuatirkan lebih 25,000 orang terkorban, kerana masih ramai lagi mangsa yang diisytiharkan hilang belum ditemui—harta benda dan paling parah ialah kesan psikologi yang terpaksa mereka hadapi untuk membina kembali kehidupan di atas sisa-sisa kebinasaan itu.

Pengalaman menghadapi bencana tsunami pada tahun 2004 masih belum lupus sepenuhnya dalam ingatan masyarakat antarabangsa setelah lebih 200,000 manusia dilaporkan terkorban dan sebahagian besarnya ialah di Aceh, Sri Lanka dan Thailand. Visual rumah-rumah dihanyutkan, upacara mengingatkan ulang tahun insiden dan tinjauan trauma masyarakan sentiasa membekas emosi. Kita mungkin tidak banyak kesedihan, tetapi penduduk Kuala Muda di Kedah dan Batu Ferringghi (termasuk Tanjung Bungah) Pulau Pinang tetap menyimpannya sebagai khazanah emosi sedih yang amat parah.
Begitu juga dengan sebahagian besar penduduk di 16 buah kampong di Sodiarjo dalam wilayah Surabaya yang masih dibelenggu dengan banjir lumpur yang menimpa mereka sejak tahun 2006. Kampug halaman mereka telah tenggelam oleh lumpur gunung berapi yang keluar dari perut bumi akibat ketamakan manusia untuk mengambil hasil minyak dalam perut bumi. Kedudukan kawasan tersebut dalam lingkaran aliran larva gunung berapi dalam perut bumi. Apabila sebuah syarikat, iaitu Lapindo cuba menggerudi kawasan yang dijangka mempunyai simpanan minyak, maka air yang mengandungi belerang mula memancut keluar tanpa hentinya.
Lumpur belerang semakin sehari semakin membuak-buak sehingga menyebabkan pihak yang bertanggungjawab membina tembok untuk menyekat aliran yang muntah keluar itu dari terus merebak ke kampong-kampung lain. Beberapa buah kampong yang terkenal dengan industri kulit dan lahan pertanian tenggelam sehingga sesetengah tempat hanya tinggal bumbung rumah. Pancutan air semakin meninggi sehingga boleh dilihat dari jauh. Kerisauan ini terus menghantui penduduk yan sempat menyelamatkan diri, dan setelah empat tahun lamanya, lumpur belerang itu mula menjadi keras. Kini kawasan tersebut menjadi destinasi baru pelancongan bagi mereka yang berkunjung ke Surabaya.

keSah PaRa nAbi.........


 Berkata salah seorang malaikat kepada kawan-kawannya yang berkumpul berbincang-bincang tentang tingkah-laku makhluk Allah s.w.t., jenis manusia di atas bumi : "Aku tidak melihat seorang manusia yang hidup di atas bumi Allah s.w.t. yang lebih baik dari hamba Allah Ayyub". Ia adalah seorang mukmin sejati ahli ibadah yang tekun. Dari rezeki yang luas dan harta kekayaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadanya, ia mengenepikan sebahagian untuk menolong orang-orang yang memerlukan para fakir miskin. Hari-harinya terisi penuh dengan ibadah, sujud kepada Allah s.w.t. dan bersyukur atas segala nikmat dan kurnia-Nya yang diberikan kepadanya."
Para malaikat yang mendengarkan kata-kata pujian dan sanjungan untuk diri Ayyub mengakui kebenaran itu bahkan masing-masing menambahkan lagi dengan menyebut beberapa sifat dan tabiat yang lain yang ada pada diri Ayyub.
Percakapan para malaikat yang memuji-muji Ayyub itu didengar oleh Iblis laknatullah yang sedang berada tidak jauh dari tempat mereka berkumpul. Iblis laknatullah merasa panas hati dan jengkel mendengar kata-kata pujian bagi seseorang dari keturunan Adam yang ia telah bersumpah akan disesatkan ketika ia dikeluarkan dari syurga kerananya. Ia tidak rela melihat seorang dari anak cucu anak Nabi Adam menjadi seorang mukmin yang baik, ahli ibadah yang tekun dan melakukan amal soleh sesuai dengan perintah dan petunjuk

3003 Keinsafan - Kisah-kisah Insan Bertaubat - Siri 3



kisah-kisah insan bertaubat yang telah mendapat hidayah atau petunjuk daripada Allah SWT. Siri 3 ini mengungkap kisah-kisah taubat insan-insan sezaman dengan kita seperti Idris Ali Tabrah dari Sudan, Cat Steven atau Yusuf Islam yang juga bekas penyanyi dari England, Refran Bigyalorn dari Cameroon, Issabella Puasso dari Perancis, Wong Kim Hock dari Malaysia dan lain-lain lagi.
Sesungguhnya, setiap titis air mata yang terbit dari relung jiwa keinsafan akan membuka belenggu dan menepis kabus kehidupan untuk menuju taman hidayah. Impian untuk menikmati kehidupan yang diredhai, melahirkan benih kerinduan untuk sentiasa berada di sisiNya. Hanya insan yang bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar akan merasakan manisnya kemurnian iman.
Buku ini membuka lembaran sejarah silam, serta menyingkap kisah keinsafan kontemporari, bagi insan yang telah menemui jalan kebenaran. Semoga paparan kisah ini dapat mengetuk kesedaran setiap jiwa yang selalu dalam kealpaan, insya Allah.

Memahami kandungan al-Quran lahir keinsafan

Memahami kandungan al-Quran lahir keinsafan Oleh Mohd Shukri Hanapi MEMBACA al-Quran sama ada dilakukan oleh orang yang memahami maknanya atau yang tidak memahami makna secara keseluruhan atau memahaminya setiap kalimah yang dibaca, tetap akan menerima ganjaran daripada Allah. Semuanya itu tetap dianggap sebagai ibadah. Begitu pun, balasan atau ganjaran yang diberi adalah berbeza, bergantung kepada ciri atau adab tingkah laku seseorang yang membacanya. Pahala orang yang berupaya memahami makna yang tersirat dalam kalimah Allah, menghayati dan berupaya mengambil iktibar serta patuh pada adab ditetapkan tidak sama dengan pahala mereka yang membacanya tanpa mengetahui makna, tidak berwuduk, tidak dalam keadaan menghadap kiblat dan sebagainya. Semuanya ini dapat difikir secara logiknya oleh akal. Adab zahir pula begitu banyak dan perlu dipatuhi antaranya: Membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali makhluk-makhluk yang diakui bersih suci." (Surah al-Waqi'ah, ayat 79). Al-Quran hendaklah diambil dengan tangan kanan, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan. Al-Quran hendaklah dibaca di tempat yang bersih, seperti di rumah, di masjid atau lain-lain tempat. Paling utama ialah di masjid. Mulut hendaklah bersih, tidak berisi sisa-sisa makanan, kerana itu seseorang itu hendaklah bersugi sebelum itu. Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan menghadap kiblat. Membacanya dengan penuh khusyuk dan tenang. Dalam masa yang sama orang yang membaca hendaklah berpakaian yang bersesuaian. Sebelum membaca, seseorang itu hendaklah memohon perlindungan daripada Allah. Permohonan ini diistilahkan sebagai 'at-Ta'awwuz' . Selepas itu barulah membaca 'Bismalah'. Dilakukan demikian supaya ia dilindungi Allah daripada tipu daya iblis dan syaitan yang boleh menyebabkan hati dan fikiran tidak tenang ketika membaca al-Quran. Elok juga seseorang itu memohon kepada Allah supaya hatinya menjadi terang dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah, bukakan bagi kami hikmat-Mu dan anugerahkan rahmat-Mu kepada kami dari khazanah-Mu. Ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Penyayang." Al-Quran hendaklah dibaca dalam keadaan tertib, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang. Firman Allah bermaksud: "Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. " (Surah al-Muzzammil ayat 73). Sesungguhnya amalan ini banyak memberi kesan kepada jiwa, lebih mendatangkan ketenangan batin dan rasa hormat kepada Allah yang menguasai sekalian alam. Bagi mereka yang berupaya menguasai makna dan maksud ayat yang dibaca, mereka hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Cara pembacaan seperti ini yang dikehendaki. Lidahnya menuturkan bacaan kalam Allah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan erti juga maksud yang terkandung dalam ayat tadi. Dengan berbuat demikian ia akan memperoleh penghayatan bacaan yang sebenar. Keadaan seperti ini akan mendorong untuk mengamalkan isi al-Quran. Dalam surah al-Nisa', ayat 82 ada dijelaskan: "Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya." Mereka yang dapat memahami kandungan al-Quran akan berupaya melaksanakan segala ajaran yang terkandung di dalam ayat yang dibaca. Ketika membaca pada ayat tasbih maka lidahnya akan menyebut 'tasbih' dan 'tahmid' (memuji). Apabila membaca ayat doa dan istighfar, maka pembaca akan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah. Apabila membaca ayat azab, dia akan memohon perlindungan Allah dari segala azab dan apabila membaca ayat rahmat, dia akan meminta rahmat, begitulah seterusnya. Ia boleh dilakukan dengan ucapan lidah atau hanya dalam hati saja. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Ibn 'Abbas bahawa Rasulullah SAW apabila membaca ayat: "Sabbihis marabbikal-a' la, Baginda membaca Subhana Rabbiyal-a'la (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi)." Jelasnya, ketika membaca al-Quran seseorang itu hendaklah membaca dengan penuh penghayatan, terutama oleh mereka yang memahami maknanya secara terperinci atau secara keseluruhan, lebih-lebih lagi pada ayat yang menggambarkan nasib orang yang berdosa betapa hebatnya seksaan yang akan dilalui. Dengan demikian bacaan yang dituturkan dengan lidah itu akan melahirkan keinsafan membolehkan si pembaca lebih menghayati keagungan Allah, terasa dirinya begitu kerdil. Dari sinilah lahirnya rasa takut kepada Allah. Biar dalam keadaan apa sekali pun, kesan terhadap pembentukan peribadi orang yang membaca dengan pemahaman makna dan dapat mengambil iktibar daripada apa yang dibaca, tentunya berbeza dengan orang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui makna dan penghayatan.