Monday, 25 April 2011

Monolog Keinsafan



Pernahkah kita merasakan hati kita begitu kosong dan hampa, semangat terasa pudar dan hambar serta tiada lagi kekuatan jiwa. Disaat ini hari-hari yang ditempuhi terasa hambar dan kita seolah-olahnya terasing dalam dunia kita sendiri.

Kita cuba mencari dimana silapnya. Adakah kerana dosa-dosa masa lalu atau kerana jiwa kita terlalai dari mengingati Allah SWT. Kitapun bertaubat dan memanjangkan munajat kita namun jiwa tetap terasa kosong "seolah-olah doa dan munajat kita tidak sampai kelangit". Kita cuba mengalirkan air mata keinsafan tetapi hati kita rasanya terlalu keras untuk itu; seolah-olahnya air mata kita telah kering untuk itu. Keyakinan terhadap apa yang Allah janjikan tidak lagi menguasai hati dan fikiran kita.

Kita cuba pula membuka lembaran-lembaran al Quran... mencari ayat-ayat yang pernah menyentuh hati kita dan kitapun cuba menghayatinya agar hati kita kembali lembut dan lunak tetapi itupun gagal.

Kini kita tidak tahu lagi apa yang sebenarnya kita sedang cari dari kehidupan yang seketika ini, kita mula kehilangan fokus dalam kerja-kerja kita dan ibadah kita mula kehilangan ruh. Segalanya terlalu kabur. Kehidupan kita disaat ini seolah-olahnya suatu fasa yang kita lalui secara terpaksa. Masa-masa yang ditempuhi terasa begitu perlahan bahkan kadang-kadang terasa seakan-akan jarum jam berhenti berputar beberapa kali.

Inilah yang saya rasakan saat ini. Kehidupan yang hambar dan kosong setelah melalui saat hidup yang bertenaga dan bersemangat.

Adakah ini adalah salah satu fasa kehidupan yang akan ditempuhi oleh sesiapa sahaja yang ingin mendekatkan dirinya pada Rabbnya atau hanya saya saja yang menempuhinya.

Disaat-saat begini saya mula menggunakan segala potensi dan kekuatan yang saya ada. Beberapa persoalan cuba saya timbulkan di dalam benak fikiran saya.

Adakah sudah lagi tiada keredhaan Allah; Apa untungnya saya menimbulkan persoalan ini. Bukankah memikirkan begini semamangnya tela menjauhkan kita dari rahmatnya dan mengundang kemurkaanNya. Bukankah Allah mencela mereka yang berputus asa dengan rahmatnya. Bukankah memikirnya adalah suatu kemungkaran yang akan mencemarkan aqidah. Bukankah dulu , pernah seorang pemuda yang menangis di depan pintu rumah Rasulullah SAW dan tangisannya begitu dahsyat hinggakan Saidina Umar RA yang melihat keadaannya turut menangis tanpa sempat bertanya kenapa. Apabila Rasulullah datang dan bertanya lalu pemuda itu menceritakan dosanya yang bukan kepalang dan dia takut Allah tidak mengampunkan dosanya. Kitpun mungkin akan fikirkan begitu; seorang pemuda yang kerjanya mencuri kain kapan disetiap malam apabila siangnya ada mayat yang dikebumikan sehinggakan akhirnya suatu malam dia terpegun dengan kecantikan mayat seorang gadis yang telah dilondehkan kain kapannya. lalu pemuda tersebut menyetubuhi mayat gadis tersebut yang telah dimandikan dan dikapan sempurna. Doasa yang terlalu besar untuk diampunkan. namun kerana keikhlasan dan keinsafannya Allah SWT tetap mengampunkan dosanya dan dan mati dalam keadaan terampun dosanya apabila dia sendiri terkejut kerana Allah masih mengampunkan dosanya. Dan kerana kejutan itu dia lalu rebah dan terus meninggal dunia. Jadi persoalan ini perlu cepat-cepat saya padamkan dan nyahkan dari kotak fikiran saya. Tentunya persoalan ini bukan penyelesai masalah bahkan menimbulkan masalah yang lebih besar. Tentunya ini adalah bisikan syaitan yang sememangnya sudah lama menanti peluang untuk menyuntik jarum keraguan dan telah terlalui ramai yang mati jiwanya kerana suntikan jarum keraguan ini. Saya ingin terus hidup dengan keimanan, saya tidak akan biarkan keraguan ini menguasai dan menyeretku kelembah kehinaan dan kenistaan. Kelembah kekufuran yang gelap dan penuh keraguan yang pernah saya tinggalkan dulu. Telah banyak air mata yang telah saya alirkan untuk menangisi fasa yang telah berjaya saya tinggalkan itu. Jadi itu bukan penyelesaiannya untuk mengisi segala kekosongan yang sedang saya rasai ini.

Mungkin ini sememangnya ujian dari Allah SWT untuk menguji benar atau tidaknya keyakinan kita padaNya dan pada hari pertemuan dengannya. Kalau ini benar-benar ujian dari Allah, yang perlu saya lakukan sekarang ini ialah terus bermunajat dan memohon kekuatanNya. Ya......semua orang akan diuji. Cuma mungkin ujian ini agak ganjil, namun ianya tetap ujian dan sekiranya saya berjaya maka saya tentunya akan lebih hampir kepadaNya. Rasulullah SAW pernah mengatakan bahawa orang yang paling dahsyat yang menerima ujian adalah para nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang ytang mengikuti mereka. Jadi kalau saya ingin tetap berada di atas jalan kebenaran dan mengikut jalan pengikut para nabi maka ujian ini adalah satu kemestian. Mungkin ini yang perlu saya fikirkan. Kalau saya salah saya tidak akan rugi apa-apa tetapi jika betul sudah tentu fasa ini akan membuka jalan untuk saya lebih hampir kepada Allah. Dan sebaik saja yang fikirkan perkara ini saya mula merasakan sedikit kekuatn menyerap masuk ke dalam jiwa saya. sekurangnya saya tidak lagi meragui sifat kasih sayang Allah dan pengampunannya yang menjadi syarat penyempurnaan Iman.





Mengingati kiamat bangkit keinsafan





Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
AL-QURAN adalah kitab dan mukjizat paling indah. Keindahannya bukan sekadar untuk diperdengarkan bacaannya tetapi diambil perhatian mengenai peringatan dan ancaman yang dijelaskan dalam ayatnya sebagai menambahkan ketaatan manusia kepada Allah pencipta semesta alam.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Apabila matahari digulung dan bintang berjatuhan dan apabila gunung dihancurkan dan unta yang bunting ditinggalkan tidak dipedulikan dan apabila binatang liar dikumpulkan dan lautan dijadikan meluap dan apabila roh dipertemukan dengan tubuh, bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah ia dibunuh, dan apabila catatan amal perbuatan manusia dibuka dan langit dilenyapkan dan apabila api neraka jahim dinyalakan dan syurga didekatkan, maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang sudah dikerjakannya, sesungguhnya Aku bersumpah dengan bintang yang beredar dan terbenam demi malam apabila sudah hampir meninggalkan gelap dan demi subuh apabila fajarnya mula menyingsing, sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman Allah yang dibawa oleh utusan mulia yang mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai arsy ditaati lagi dipercayai.” (Surah at-Takwir, ayat 1-21)
Rasa takut dan cemas terbayang menekan kita. Ketakutan meliputi seluruh alam dan mencemaskan jiwa serta menggoncang dada. Malah, ketakutan mencengkam seluruh bumi dan langit yang digerakkan lagi oleh ketakutan dan digentarkan pula oleh firman-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Apabila terjadi hari khiamat, tidak seorang pun dapat berdusta mengenai kejadiannya. Kejadian itu merendahkan satu golongan dan meninggikan golongan yang lain. Apabila bumi digoncang sedasyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancurnya, maka jadilah debu yang berterbangan.” (Sural al-Waqiah, ayat 1-6)
Pada saat lain, ketakutan itu terlintas dalam bayangan dan bergoncang perasaan. Semua itu sebagai peringatan kepada kita untuk menambah ketaatan dan ketakwaan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang besar dan dasyat. Ingatlah pada hari ketika kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya. Dan gugurlah kandungan semua wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.” (Surah al-Hajj, ayat 1-2)
Demikian gambaran demi gambaran yang ditampilkan Allah mengenai pemandangan hari kiamat. Sesekali perasaan takut merasuk ke jiwa dan pada saat lain berasakan kemantapan dan ketenangan.
Sesekali terbayang api neraka yang membakar dan sesekali pula hembusan sejuk angin syurga menerpa, lantaran itu pengenalan terhadap alam akhirat menjadi penting dan sempurna sebelum hari yang dijanjikan itu tiba.
Firman Allah yang bermaksud:
“Hari kiamat; apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu, apakah hari kiamat itu? Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihamburkan.” (Surah al-Qariah, ayat 1-5)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, ibu bapanya, isteri dan anaknya setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan.”
Demikian paparan yang diungkapkan al-Quran mengenai peristiwa yang mengerikan. Ungkapan pemandangan kiamat tentu meresap, membangkit kesedaran dan keinsafan. Betapa hari kiamat senantiasa menjadi perhitungan dalam hidup. Ia begitu lekat dalam hati dan lisan. Lantas kita pun bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan dan ketaatan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Allah akan melipat petala langit di hari kiamat lalu menggenggam dengan tangan kanan-Nya seraya berkata; Aku Raja segala raja! Di manakah orang yang membesarkan diri? Di manakah orang yang menyombong diri? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya seraya berkata: Akulah Raja segala Raja! Di manakah orang yang menyombong diri?”
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan kamu tidak akan mencapai setinggi gunung.” (Surah al-Isra’, ayat 37)
Kesombongan itu menggelapkan jalan ke syurga, merosak pergaulan, merenggang pertalian, memecah perpaduan. Al-Quran sebagai mukjizat dan penawar selayaknya ditampilkan sebagai panduan, peringatan bukan sekadar bacaan dan nyanyian malah sebagai penyatuan serta keinsafan.
Justeru, al-Quran sebagai mukjizat dan penawar bukan saja untuk dihayati keindahannya, malah memberi petunjuk untuk membina ketaatan, menjadi orang beriman yang membela kebenaran, memelihara diri daripada dosa dan kemurkaan.
Mengingati hari akhirat memberi kesedaran dan keinsafan bahawa penghujung jalan terbentang suatu lagi perjalanan yang masih panjang.

Tangisan keinsafan pembersih dosa







Bangun dan sujud pada tengah malam amalan Rasullah serta sahabat
SAIDINA Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh.

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.
Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”
Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.
Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: “Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa.”
Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya:





 
  • Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.





  • Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.
Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan?
Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.
Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.
Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?
Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini.
Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi?






  • Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.
Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.
Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.





INTI PATI
  • Seseorang manusia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya, oleh itu letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.
  • Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama pada alam kubur. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan yang amat penting. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan.
  • Menangis kerana ingatkan hari perhitungan. Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

imej-imej keinsafan