Wednesday 27 April 2011

Keinsafan Dalam Diri

Manusia dicipta oleh Yang Maha Kuasa sebagai penuntut
Di muka bumiNya untuk menuntut
Pengajian ilmu-ilmu menghadapi hari akhirat
Yang pasti akan menjelang tiba
Tanpa pengetahuan siapa pun
Kerana kedahsyatan hari akhir zaman itu adalah rahsiaNya!

Al-Quran dan As-Sunnah dibekalkanNya
Sebagai guru yang akan memberi panduan dalam kehidupan
Penuntut-penuntut yang menuntut ilmu
Untuk memperoleh kejayaan yang abadi
Dengan genggaman sijil di tangan
Syurga neraka bakal menentukan masa depan setiap penuntut!

Sebelum memperoleh sijil kemenangan
Banyak destinasi yang perlu dilawati oleh setiap penuntut
Penuntut perlu menziarahi universiti alam barzakh
Selepas kematian datang menjemput setiap penuntut
Lambat atau cepat tak siapa yang tahu
Kalimah ‘syahadah’ penentu kejayaan menghadapi sakaratul maut!

Penuntut perlu meneruskan perjalanan seterusnya
Selepas dibangkitkan semula daripada kematian
Dan dihimpunkan semua penuntut di padang Mahsyar
Tanpa sebarang pakaian dan alat solek
Dengan keadaan matahari terik sejengkal di atas kepala
Tersenyum dan gelisah hanya amalan setiap penuntut yang tahu!

Penuntut yang beramal soleh dan beriman
Akan sentiasa senyum tanpa sebarang resah
Sebaliknya penuntut yang kufur dan tidak beriman
Akan merasa resah dan gelisah serta takut
Kerana menunggu hari penantian yang bertahun-tahun lamanya
Untuk mengambil sijil padang Mahsyar!

Al-Mizan menjadi penentu arah kehidupan
Penimbang segala ilmu yang telah penuntut amalkan
Berat amalan baik akan menerima ganjaran syurga
Berat amalan jahat akan menerima balasan neraka
Saat inilah buku-buku amalan para penuntut diberi kepada pemiliknya
Buku yang selama ini menjadi catatan para Malaikat!

Titian As-Sirat menjadi destinasi terakhir para penuntut
Bakal menentukan masa depan setiap penuntut di bumi akhirat ini
Syurga berada di hujung titian
Api marak Neraka pula berada di bawah titian
Semoga para penuntut dapat meniti As-Sirat dengan jayanya
Agar kemenangan mendapat Syurga menjadi kejayaan idaman buat para penuntut!



No comments:

Post a Comment